Tuesday 4 December 2018

Usah Aib Anak

USAH AIB ANAK
PERJELAS KESALAHAN DILAKUKAN SECARA BERHEMAH

            Ketika anak kita melakukan kesalahan seperti menunjukkan dia tidak berselerah menjamah makana, rasa marah mula 'menyala'. Lalu diherdik anak itu dengan kata-kata seperti, "Boleh tak jangan buat aku marah! Kacau 'mood' orang kamu ni!"
            
             Niat ibu bapa mungkin untuk mengajar anak kebaikan tetapi boleh jadi anak menerima mesej itu berlainan. Dia belajar mengenai benar atau tidak perbuatannya ditentukan 'mood' atau suasana hati orang tua ketika itu. Kadangkala dia 'disambut' dengan kemarahan tanpa belas kasihan. Akibatnya, anak menjadi bingung kerana hidup tidak memahami keadaan serta tidak mengizinkannya mengambil keputusan.

            Fikiran dan jiwanya akan berkecamuk dan lama-kelamaan dia ada kecenderungan untuk memberontak, melawan, keras kepala, lemah pendirian, ragu-ragu dan mudah terikut-ikut kerana penakut.  Jangan sampai terjadi begitu. Pujuklah kesabaran diri dengan petunjuk Nabi SAW "Tidaklah satu keluarga diberi kelembutan melainkan akan memberi manfaat pada mereka. Dan tidaklah sebaliknya melainkan akan memberi mudarat pada mereka." (Diriwayatkan oleh al-Thabrani dengan sanad sahih) 

              Yakinlah kesabaran itu tidak sia-sia. kita pasti akan beroleh manfaatnya. Imam Ghazali berkata: "Anak kecil apabila dilalaikan pada awal pertumbuhannya, biasanya dia akan membesar dengan memiliki akhlak buruk: suka berdusta, pendengki, suka mencuri, mengadu domba, suka mencampuri urusan orang lain, suka melecehkan orang lain dan suka menipu. Semua itu boleh dihindari dengan pendidikan yang baik." (Rujuk buku Prophetic Parenting, Dr Muhammad Nur Abdul Hafiz Suwaid)

              Sebelum memilih kaedah dan hukuman, tanyalah diri sejauh mana kita menunaikan hak anak kita? Nabi SAW sangat menjaga hak anak.
           
               Daripada Sahl Bin Saad, Rasululah SAW pernah diberikan minuman. Baginda meminumnya sedikit. Di sebelah kanan Baginda ada seorang anak kecil manakalah di sebelah kirinya ada orang tua. Baginda bertanya kepada anak kecil itu, " Adakah engkau rela jika minuman ini aku berikan kepada mereka (terlebih dahulu)? " Anak kecil itu menjawab "Aku tidak rela ya Rasullullah. Demi Allah, aku tidak mengizinkan siapa pun merebut bahagianku dadaripadamu." Rasulullah meletakkan minuman itu di tangan anak kecil berkenaan. (Riwayat Bukhari Muslim) 

               Lihat bagaimana sikap Rasulullah SAW dalam memberikan hak kepada yang berhak. Bahkan, menjadikan anak itu berasa dirinya berharga. Apabila diri anak itu dihargai, dia akan membesar dengan lebih posotof, seterusnya mengembangkan potensinya. Tidak hairanlah, anak-anak yang terdidik dalam didikan Nabi SAW mempunyai peribadi menakjubkan sepanjang sejarah kemanusiaan.
           
                Anak-anak yang dihormati haknya akan belajar menghormati hak orang lain manakala anak yang kurang penghargaan apabila meningkat remaja, mereka sanggup melakukan perkara pelik semata-mata mahukan orang dewasa menyedarinya. Misalnya, remaja lelaki suka mengubah suai motosikal supaya berbunyi bingit. Remaja perempuan pula suka menghias diri dengan pakaian sendat dan perhiasan tidak selari adat dan syariat.

                Mereka tidak kisah dimarahi asalkan diberi perhatian. Sebelum semua itu terjadi, bagaimana sikap kita dalam memberikan hak anak seperti yang dipamerkan Rasulullah SAW? Adakah kita kerap merampas dan menyorok barang kesayangan mereka atas alasan memberi pengajaran? Ketika kecil, mereka akan mengalah kerana tidak berdaya. Namun apabila dewasa, jiwa mereka akan menunjukkan sikap keras kepala. Ahli psikologi dan penulis buku Uncoditional Parenting, Alfie Kohn menegaskan cinta yang tulus lebih berkesan untuk mengasuh, mengarah, mendidik dan mendorong anak untuk lebih bertanggungjawab.

                Anak lebih hormat ibu bapa apabila wujud kepercayaan kepada orang tuanya. Sehubungan itu, pamerkan cinta setulusnya kerana cinta akan selalu menang! Anak yang merasai hukuman selepas diberikan kasih sayang, menyedari indahnya nilai kelembutan dan kasih sayang yang dinikmati sebelum ini. Dia juga dapat merasai kesalahannya sesuatu yang serius lalu memahami erti ketaatan dan berakhlak mulia.

              Sebaliknya, anak yang menerima hukuman tanpa merasai kelembutan dan kasih sayang merasakan hidupnya penuh hukuman dan tidak adil. Al-Kasani dalam kitab al-Bada'ius Shana'I berkata, "Anak dihukum kerana pendidikan, bukan seksaan. Nabi SAW bersabda, "Perintahkanlah anakmu solat apabila mencapai tujuh tahun., dan pukullah mereka (jika meninggalkan solat) pada usia 10 tahun."

             Memukul anak berusia 10 tahun kerana tidak solat jangan sampai menyeksa seolah-olah tubuh kecil itu dijadikan tempat melepas geram. Pendidik seperti itu wajar menerima balasan. Jaga adab kemanusiaan terhadap anak supaya tindakan merotan itu memberi maksud mendidik bukan menghukumnya yang belum ditaklifkan lagi dosa pahala kepadanya.

             Nabi SAW menunjukkan cara mencegah serta mengisi keperluan emosi, akal dan jasad anak. Bagaimanapun, apabila anak masih lewa melakukan kesalahan setelah diberikan nasihat dengan nada lembut, apa yang perlu kita lakukan? Di sinilah baru kaedah hukuman diperlukan antaranya:

  • Jelaskan niat kita menghukum  
Minta perlindungan Allah SWT daripada api kemarahan yang berasal daripada syaitan. Hukuman bukan seksaan atau luapan emosi. Tindakan daripada niat yang jelas akan dibimbing Allah SWT supaya tidak melampaui batas.


  • Hukuman mampu membuatkan anak mengenali mana yang betul dan salah
Setiap perbuatan ada sebab dan akibat. Apabila anak menerima maaf, tunjukkan sikap positif dan jangan berlebihan memberikannya tekanan.
  • Jaga aib dan harga diri anak
Walaupun dia baru berusia tiga tahun, usah malukan dirinya di hadapan orang lain.
  • Hukum dengan berpada-pada
Ibu bapa boleh menghukum anak tetapi jangan dicederakan jiwa dan fizikalnya dengan kesakitan.
  • Dahului dengan kasih sayang dan akhiri dengan hukuman

Beritahu anak kita terpaksa menghukumnya kerana sayang. Selepas menghukum, usah biarkan dia tidur dalam kesedihan tanpa diakhiri episod bermaaf-maafan. 




FB: Saadiah Arbain IG : mamasaadiah Emel: saadiaharbain85@gmail.com Call/Whatsapp : 019-4961827

No comments:

Post a Comment