Monday 3 December 2018

Didik anak urus masa cuti sekolah

DIDIK ANAK URUS MASA CUTI SEKOLAH

Cuti persekolahan hujung tahun sudah pun bermula. Inilah masanya untuk anak-anak kita mengambil peluang melepaskan lelah dan penat sepanjang sesi persekolahan yang diharungi sepanjang tahun. Apatah lagi bagi anak-anak yang baru saja melalui peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM. Bagi sesetengah anak-anak ini, cuti persekolahan sebulan ini sangat dinanti-nantikan kerana pengisiannya yang dirangka rapi oleh ibu bapa mereka. Namun, bagi sesetengah anak-anak yang lain, ia tiada beza cuma hanya tidak perlu ke sekolah. Sebagai ibu bapa kita harus memainkan untuk membantu anak-anak untuk merangka dan memenuhi waktu cuti mereka ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, berkualiti dan produktif.


             
 Sepanjang waktu cuti sekolah ini, anak-anak harus dididik bahawa ia bukan satu bentuk rehat yang 'totok' dengan aktiviti bermalas-malasan dan bermain permainan kompter atau menonton rancangan televisyen saja. Jangan membazirkan masa anak-anak sebegitu saja kerana daripada perspektif Islam ini satu bentuk kerugian. Rasulullah SAW sendiri ada berpesan yang bermaksud: "Dua nikmat yang ramai manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan masa lapang." (Riwayat Bukhari). Ini jelas memberi isyarat jika masa lapang itu dibiarkan saja tanpa aktiviti yang berfaedah, maka tidak ada kebaikan pun dapat diraih terutama anak-anak ketika cuti sekolah ini. 
         
 Anak-anak perlu dididik sepanjang cuti sekolah itu untuk belajar menghormati dan menguruskan masa sebaiknya. Ibrah daripada firman Allah dalam surah al-'Ars perlu dihayati sebaiknya. Melalui surah itu, Allah menggambarkan manusia yang tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya adalah daripada golongan yang rugi. Golongan manusia yang turut dianggap rugi adalah kelompok manusia yang membiarkan masa berlalu tanpa memanfaatkannya untuk saling menasihati dan membimbing manusia lain untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Golongan yang rugi juga adalah mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah kerana lalai, kurang ilmu dan leka dengan nikmat kehidupan dunia yang sementara sifatnya. 

Aktiviti pembelajaran masih terus boleh berjalan namun ia dalam bentuk yang berbeza tidak seperti di dalam kelas di sekolah. mungkin pada waktu cuti sebeginilah kemahiran tertentu termasuk kemahiran insaniah atau soft skills boleh dicerna sebaiknya dalam kalangan anak-anak. sejak sekian lama, banyak aktiviti yang boleh disusun atur dan dianjurkan oleh ibu dan bapa demi memastikan masa anak-anak itu dihabiskan dengan bermanfaat dan anak-anak tidak akan berkata 'saya bosanlah bercuti di rumah'.
     
Aktiviti lazim di rumah

 Sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak bermula pada usia tertentu mungkin boleh diajar untuk membantu ibu dan bapa dalam urusan rumah tangga. Dengan aktiviti harian yang lazim seperti mengemas rumah, menyapu sampah, membasuh dan menyidai pakaian, memasak dan membasuh kereta misalnya, anak-anak akan memahami bahawa rutin sebegini harus dikendalikan secara bersama-sama demi membantu ibu dan bapa meringankan tanggungjawab mereka. 

Kem ibadah, kemahiran, agama

 Penulis sendiri menerima banyak iklan mengenai penganjuran kem akedemik dan ibadah yang khusus untuk belajar sepanjang cuti sekolah ini. Dengan kos penyertaan yang rata-ratanya murah dan berpatutan, ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak-anak mereka menyertai kem sebegini yang sarat dengan pengisian kerohanian, kursus solat, kelas mengaji dan menghafaz al-Quran, ibadah fardhu ain dan sebagainya. Program sebegini mampu mencerna pengetahuan keagamaan yang lebih baik dan dalam kaedah pembelajaran yang lebih menarik untuk anak-anak. 

Program kemahiran

Tempoh percutian yang panjang merupakan satu ruang yang baik untuk ibu bapa membentuk kemahiran tertentu untuk anak-anak melalui penyertaan mereka dalam penganjuran pelbagai program tersepadu. 

Banyak juga program jangka pendek yang dianjurkan secara intensif yang boleh disertai anak-anak berdasarkan kemahiran tertentu. Misalnya, program berkaitan kemahiran bahasa, (termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan lain-lain) kemahiran kendiri seperti kelas mebuat kek dan kuih, kelas menjahit atau program asas tani; dan kemahiran teknologi maklumat seperti asa penggunaan komputer dan pengaturcaraan dan kemahiran sosial melalui program kepimpinan dan motivasi. 

Lawatan tempat menarik
         sepanjang cuti sekolah ini juga, anak-anak boleh dibawa melawat tempat peranginan atau bersejarah. Tempat yang biasanya menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi adalah seperti pantai, taman tema, muzium, zoo dan sebagainya. Banyak promosi menarik yang diadakan sepanjang cuti sekolah ini. Misalnya, Pusat Sains Negara dibuka secara percuma kepada semua pengunjung sehingga ke akhir tahun ini.

Ziarah saudara-mara, balik kampung 
             Selain itu, ada juga ibu bapa yang mengambil inisiatif 'sambil menyelam minum air' dengan membawa anak-anak melawat atau menziarahi sanak saudara dengan tujuan merapatkan silaturahim dan perhubungan kekeluargaan. Menjadi kelaziman cuti panjang sebegini, pasti akan ada majlis perkahwinan. Maka inilah masanya untuk anak-anak jika berpeluang, merasai apa yang dipanggil 'rewang' atau majlis gotong-royong dan kenduri sekeluarga yang sangat meriah dan menarik. Ada juga anak-anak yang dibawa bercuti di kampung dan merasai sendiri nikmat kehidupan kampung yang kelihatannya asing bagi sesetengah anak-anak ini.

Aktiviti sukan dan lasak
             Ada juga ibu bapa yang gemar dan inginkan anak-anak merasai pengalaman berbeza dan mencabar dalam percutian dengan membawa mereka mendaki gunung, mengembara dalam hutan, berkayak di sungai dan pantai, memancing di laut, menaiki kenderaan pacuan empat roda di jeram, dam seumpamanya.

Bekerja separuh masa
           Ada ibu bapa yang suka memupuk semangat berdikari dan bersyukur dengan nikmat rezeki pemberian Allah SWT dengan cara menggalakkan anak-anak untuk bekerja secara separuh masa. Anak-anak yang merasai tempoh waktu kerja walau pon singkat ini pasti akan banyak belajar mengenai disiplin, penjagaan masa, sifat amanah, sabar dan tekun. Hasil upah yang diterima adalah sesuatu yang sangat bermakna buat anak-anak kerana ia hasil daripada titik peluh mereka sendiri.
          Apa saja pengisian dan aktiviti yang dirangka oleh ibu bapa untuk anak-anak sepanjang cuti persekolahan ini pasti akan memberikan kebaikan buat anak-anak. Ambillah peluang ini untuk mendekati anak-anak terutama dalam hal minat dan kecenderungan serta potensi diri anak-anak. pokok pangkalnya, masa yang terluang sepanjang cuti ini tidak digunakan dengan sia-sia.



FB: Saadiah Arbain IG : mamasaadiah Emel: saadiaharbain85@gmail.com Call/Whatsapp : 019-4961827

No comments:

Post a Comment